Pages

Powered by Blogger.

SlideShow

.
2

Keistimewaan Hari Kelahiran Baginda Rasulullah SAW


Sempena  Menyambut Hari Keputeraan Baginda Rasulullah SAW iaitu Kekasih ALLAH 
marilah sama2 kita tingkatkan selawat keatasnya dan membaca artikel yg telah saya cari untuk dikongsi bersama. semoga kita semua dapat banyak syfaat dari selawat di bulan kelahiran nabi dengan selawat keatas baginda Rasulullah SAW. Terima Kasih Jugak Kepada hamba Allah Yg Berjaya siapkan artikel ni.. mohon dishare untuk ummat islam yg lain..





0

Yang Tersirat Disebalik Selawat

Bila kita kenal sesuatu yang indah, baik dan benar, kita akan jatuh cinta. Bila sudah cinta, kita banyak mengingat apa yang kita cintai itu. Dan bila kita banyak mengingat, pasti banyak pula kita menyebutnya… Kata orang tua dahulu,  bila hati teringat, mulut akan menyebut!
Jadi, tanda cinta kita kepada sesuatu, banyaklah kita menyebut-nyebutnya. Dan begitulah kitaran cinta kepada Rasulullah saw. Tanda kenal, cinta. Tanda cinta, ingat. Dan tanda ingat, banyak menyebut… Semakin banyak ingatan, semakin banyka pula sebutan. Dan di situlah signifikannya selawat!
Ya, semoga Allah berikan hati yang sentiasa ingat kepada Rasulullah saw lalu kita mampu berselawat ke atas baginda – sebagai tanda kasih, tanda cinta kepadanya. Tidak cukup jika berselawat pada Hari Keputeraannya atau membacanya hanya ketika dalam tahiyyat awal atau akhir, sebaliknya jadikan ia basahan lidah setiap masa – gembira atau berduka, ketika ramai atau bersendirian, siang mahupun malam.
Sebenarnya, bukan sahaja manusia dituntut berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, malah Allah dan para malaikat juga turut berselawat ke atas baginda. Pujian daripada Allah dan para malaikat ini justeru ketinggian akhlak dan keperibadian baginda.
Firman Allah swt:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sesempurna-sempurna salam.” (Al-Ahzab 56)
Bayangkan, tanpa Rasululah alam ini tidak akan diberkati. Kedatangannya adalah untuk memberi rahmat untuk alam ini. Alam itu gelap gelita, Rasulullah adalah penerang kepada penghuni-penghuni dunia. Kata bijak pandai, dunia tidak akan aman, selagi manusia yang menghuni di atasnya tidak berakhlak. Dan inilah misi utama kedatangan Rasulullah SAW yakni memberi rahmat kepada alam dengan berusaha memperbaiki akhlak manusia.
Firman Allah:
“Dan tidak diutuskan (nabi Muhammad SAW) melainkan untuk memberi rahmat buat sekelian alam.”
Rahmat kedatangan Rasulullah ini adalah dalam bentuk akhlak yang paling murni untuk dipelajari dan diteladani oleh semua manusia. Ini ditegaskan sendiri oleh sabda baginda:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.”
Tanpa Rasulullah tidak akan ada kasih-sayang sejati dikalangan manusia. Ibu-bapa tidak akan dihormati, anak-anak tidak akan disayangi, kaum wanita tidak akan dilindungi, yang miskin tidak akan dibela, yang kaya tidak akan pemurah, yang berkuasa tidak akan adil, yang diperintah tidak akan taat. Cara hidup Jahiliyah yang serba kejam, hina dan kucar-kacir akan terus bermaharajalela. Namun kedatangan baginda telah memberhentikan semua itu.
Baginda berjuang bermula dengan seorang diri. Diseru kaum keluarga terdekat dan sahabat terapat. Daripada Siti Khadijah, kemudian Sayidina Ali serta Sayidina Abu Bakar… Sedikit demi sedikit. Dan 23 tahun kemudian, ada lebih 124,000 para sahabatnya yang bertebaran di Makkah, Madinah dan seluruh jaziratul Arab. Baginda rela kehilangan apa sahaja demi menyelamatkan umatnya daripada kejahilan dan kesyirikan. Daripada cacian, dihalau hinggalah ancaman bunuh – semuanya telah baginda lalui demi perjuangan yang suci.
Jika pada hari ini kita memuja pemimpin yang berjasa… maka siapakah pemimpin yang lebih besar jasanya daripada Rasulullah SAW? Bagindalah yang telah membebaskan kita daripada kesempitan hidup dunia untuk menikmati kelapangan hidup di akhirat. Baginda jualah yang membebaskan kita daripada penghambaan sesama manusia untuk menjadi hamba keoada Allah. Baginda yang mengeluarkan kita daripada ksempitan dunia untuk menuju kelapangan akhirat.
Soalnya, bagaimana kita memperingati jasa-jasanya itu?
Ya, kita mesti berselawat ke atas baginda. Kelebihan solawat telah banyak kita dengar. Namun apakah yang Allah swt benar-benar inginkan daripada selawat kita? Allah swt inginkan supaya hubungan kita dengan Rasulullah swt adalah berterusan. Oleh sebab itu kalimah, “Asyhaduallah ila ha illallah.”diikuti kemudiannya dengan kalimah “wa ashaduanna Muhammadar Rasulullah”. Apabila kita menyebut kalimah ini, rasakan diri kita adalah hamba Allah, lalu seterusnya perlu kita tanyakan bagaimanakah caranya hendak menjadi hamba Allah yang sebenar?
Lalu menyusul pengertian kalimah keduanya: “Wa asyhadu anna muhammadar Rasulullah.” Iaitu dengan mencontohi Rasulullah saw. Bagindalah individu yang pada setiap masa merasakan dirinya hamba. Ketika menjadi seorang ayah, seorang jeneral, seorang Nabi, malah sebagai pemimpin, baginda tetap merasakan diri sebagai hamba kepada Tuhannya.
Bagaimana rasa diri hamba? Ya, umpama seorang hamba, tentu dirinya tidak layak melakukan sesuatu sesuka hati. Apa yang dilakukan mesti mengikut arahan majikan atau tuannya. Jadi dengan amalan selawat ini, kita berharap menjadi hamba Allah setiap masa,di setiap tempat dan setiap ketika. Maka dengan itu bererti hubungan kita dengan Rasulullah juga adalah hubungan yang berterusan. Sebab kita hendak jadikan Rasulullah ini sebagai teladan bagaimana menjadi hamba Allah sebenar pada setiap masa dan ketika.
Allah swt bukan sahaja menurunkan Islam dalam bentuk ilmu dan ilmiah. Dia juga turunkan Islam dalam bentuk amaliah atau praktiknya, yakni melalui Rasulullah. Jadi Al-Quran itulah dalam bentuk ilmu, Rasulullah itu pula mempraktikkan isi Al-Quran. Jadi inilah yang Siti Aisyah katakan, jika kamu ingin melihat Al-Quran hidup, maka tengoklah peribadi baginda dalam kehidupan seharian. Dan bagi kita umat Islam akhir zaman ini… tidak ada jalan lain untuk ‘melihat’ keperibadian Rasulullah selain melihat sejarah hidup Rasulullah SAW.
Peri pentingnya sirah Rasulullah, ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
“Didiklah anak-anak kamu tiga perkara: Kecintaan kepada nabi kamu, kecintaan kepada keluarga baginda dan membaca Al Quran.”
Justeru, generasi Salafussoleh begitu bersemangat mengajarkan anak-anak mereka tentang sirah Nabi Muhammad SAW sehingga diseiringkan dengan pengajaran Al quran. Sebab sirah merupakan penterjemah makna-makna Al Quran secara praktikal. Imam Zainul Abidin bin Husin bin Ali RA berkata:
“Kami mengetahui soal perang-perang Rasulullah SAW sebagaimana kami mengetahui surah-surah yang ada dalam Al Quran.”
Mudahkan mencintai atau mencontohi Rasulullah?
Kita tidak pernah berjumpa Rasulullah. Kita hanya mendengar kisah kehebatan iman dan akhlak baginda sejak di bangku sekolah. Jadi, bagaimana hendak menyemai cinta kepada Nabi Muhammad SAW?
•    Menerima seruan dan dakwah Nabi Muhammad SAW.
Apa yang telah disampaikan oleh rasulullah kita terima dan kita terus laksanakan. Semakin cepat kita menunaikan seruannya maka semakin bertambah kecintaan kita terhadapnya. Sayidina Ali misalnya, telah menerima seruan dakwah Rasulullah tanpa harus berbincang terlebih dahulu dengan sesiapapun, hatta ayah-ibunya sendiri.
Tidak ada gunanya mengaku cinta kalau tidak dibuktikan dengan perbuatan. Kata cinta, tetapi sunnah baginda kita cerca atau pinggirkan. Malangnya, inilah sikap kebanyakan umat Islam kini. Mengaku cinta, tetapi bergaul bebas, mendedahkan aurat, makan riba, minum arak, menipu, rasuah. Baginda sangat bencikan riba, tetapi ada dikalangan umat Islam yang masih mengamalkan riba.
•    Mencintai apa yang dicintai Nabi.
Apa sahaja yang dicintai oleh nabi Muhammad SAW dari segi cara hidupnya – cara solat, puasa, mentadbir, menguruskan perniagaan, mengatur rumahtangga, makan, minum, pakaian sehingga cara baginda masuk tandas – akan kita teladani.
•    Membenci siapa yang membenci nabi.
Siapa sahaja yang memperleceh-lecehkan kedudukan nabi Muhammad adalah musuh kita. Kita tidak akan berkawan apalagi bersahabat dengan mereka yang terang-terangan menghina nabi Muhammad SAW. Tidak kira mereka itu kaya, berkuasa atau ternama sekalipun. Siapa yang membenci Rasulullah itulah musuh kita.
Sebab itu umat Islam tidak akan berdiam diri sekiranya Nabi Muhammad diperlecehkan melalui lukisan, tulisan atau kata-kata.
•    Menjaga hadis-hadis Nabi.
Maksud menjaga hadis di sini ialah dengan menghafaz dan mengamalkannya. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Samurah bin Jundub RA bahawa dia berkata:
“Di zaman Nabi, aku adalah seorang anak kecil, namun aku turut pula menghafaz hadis dari baginda, sedangkan orang-orang di sekelilingku semuanya lebih tua dariku.”
Ibarat seorang yang sedang bercinta. Kebiasaannya seseorang itu akan mengikut atau menyebut-nyebut nama orang yang dicintainya. Dia mesti mempunyai rasa suka atau cinta kepada orang itu.Kemudian rasa cinta itu dilahirkan dalam tindakan. Jadi cinta pada Rasulullah itu bukanlah semata-mata dengan kata, tetapi dengan tindakan. Oleh itu, dalam kehidupan ini, setiap tindakan mestilah menunjukkan kecintaan kepada Rasululah. Misalnya, acara mencukur rambut bayi dan kenduri aqiqah.
Majlis Aqiqah dan mencukur rambut diraikan ibu dan ayah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. Ia adalah sunnah Rasulullah yang mulia. Ketika anak Rasulullah iaitu Fatimah az-Zahra melahirkan Hassan, Nabi pun berkata:
“Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya. Kemudian bersedekahlah dengan mengeluarkan perak seberat timbangan rambutnya.”
Seorang ulama Syeikh Dahlawi Rahimullah mengulas tentang hadis di atas dengan katanya:
“Sesungguhnya anak itu jika telah berpindah dari janin menjadi bayi merupakan sebuah nikmat yang wajib disyukuri, Bentuk kesyukuran yang terbaik adalah dengan menggantikannya. Mengingatkan bahawa rambut bayi merupakan bahagian dari perkembangan janin, dan menghilangkannya merupakan petanda kemerdekaannya menuju perkembangan sebagai anak, maka seharusnya bila rambut itu ditimbang (nilai) dengan perak.”
Setelah ditimbang, berat rambut Hassan adalah sedirham. Sedirham itulah disedekahkan. Kita mungkin antara bayi-bayi kecil satu ketika dulu didendang dengan selawat dan marhaban. Jika anak itu lelaki, diberikan permulaan nama “Muhammad” – Muhammad Rasul, Muhammad Taufik, Muhammad… supaya mendapat keberkatan Allah swt. Lebih-lebih lagi ayah dan ibu mengimpikan anaknya nanti membesar dan mencontohi akhlak Nabi Muhammad saw.
Sabda Rasulullah SAW:
“Namakanlah anak-anakmu dengan nama-nama para Nabi. Sedangkan nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan Abdul Rahman dan nama yang paling benar adalah Harith dan Hamman, sedangkan nama yang paling buruk adalah Harb dan Murrah.”
Apabila anak lelaki sudah membesar, diadakan pula majlis berkhatan yang juga diiringi dengan selawat dan puji-pujian membesarkan Allah. Sesetengah masyarakat setempat mengadakan acara tambahan bagi meraikan atau menyemarakkan semangat kanak-kanak. Antaranya acara mandi beramai-ramai di sungai, berarak sambil didukung atas bahu bapa sendiri dan sebagainya. Semuanya dengan tujuan untuk menggembirakan hati anak-anak yang akan berkhatan.
Berkhitan sebenarnya satu perintah. Nabi saw pernah bersabda:
“Termasuk fitrah (kesucian) adalah berkumur, menghirup air ke dalam hidung (ketika berwuduk), mencukur misai, bersiwak, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut kemaluan dan berkhitan.”
Apabila usia meningkat remaja, teringin pula berumahtangga. Majlis pernikahan diatur. Termeterailah ikatan janji untuk berkasih dan bercinta selama-lamanya dengan iringan syahadah dan selawat. Ketika itu, kedua-dua pengantin berharap dapat hidup sebagai suami isteri yang bahagia dan harmoni. Rasulullah SAW bersabda:
“Yang lebih utama lagi ialah lidah yang berzikir, hati yang bersyukur dan isteri yang solehah yang akan membantu seorang mukmin untuk memelihara keimanannya.”
Jika rumahtangga mencontohi rumahtangga Rasulullah, kehidupan akan dipenuhi kebahagiaan dan keberkatan. Sabda Rasulullah SAW:
“Mahukah aku beritahukan sesuatu yang dapat dijadikan sebagai harta simpanan seseorang? Iaitu isteri yang solehah. Jika seorang suami memandangnya, dia membuatnya gembira jika ia memerintahkannya, dia mematuhi, dan jika dia pergi, maka dia akan selalu menjaganya.”
Sebaliknya jika kehidupan rumahtangga tidak dipandu iman, kehidupan bagaikan neraka dunia sebelum ke neraka sebenarnya.
Sehinggalah apabila kita mati, kita diajar bagaimana bertalkin di dalam bersolawat untuk Rasulullah. Terbuktilah setiap kehidupan kita dari sejak lahir sehingga kini mesti berhubung dengan Rasulullah saw. Oleh kerana itu jadikanlah berselawat itu teman dalam kehidupan kita.
Kelebihan bersolawat
Pengalaman kita, doa akan cepat dimakbulkan apabila kita memulai dengan berselawat. Kita akan dapat ketenangan hati. Menyebut nama orang soleh (dalam konteks ini Rasulullah SAW) akan mendatangkan rahmat. Dan yang paling penting ialah dengan bersolawat kita dapat keberkatan dan syafaat. Berselawat adalah sumber kepada syafaat. Syafaat Nabi di akhirat nanti terdapat 5 jenis:
•    syafaat untuk membebaskan umat manusia daripada dahsyatnya suasana di Padang Mahsyar
•    syafaat untuk memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa sebarang hisab atau perhitungan
•    syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukuman setimpal, supaya hukuman itu kemudian ditarikbalik.
•    Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa dari azab neraka
•    Syafaat untuk menaiki ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.
Selawat juga mengundang keberkatan hidup di dunia.  Apabila kita menyebut nama orang-orang soleh, ia mendatangkan rahmat. Rahmat itulahkeberkatan… Bila ada keberkatan, insya-Allah akan ada kelebihan yang berterusan dan berkekalan.
Keberkatan yang sangat diharapkan ialah keberkatan dari segi rezeki. Kedua, dari segi umur kita, ketiga daripada usaha kita dan keempat, dari segi ilmu. Ini bermakna walaupun ada masanya kita hanya mendapat ‘sedikit’ tetapi dengan keberkatan, insya-Allah, yang sedikit itu adan mencukupi. Misalnya, umur walaupun pendek tapi banyak bakti dan jasanya. Inilah yang terjadi kepada Imam Nawawi, Imam Syafie dan Umar Ibn Aziz.
Jumlah kitab karangan Imam Nawawi misalnya, tidak sepadan dengan umurnya. Usianya hanya sekadar 40 an tetapi beliau sangat produktif. Begitu juga Umar Ibn Aziz, yang hanya sempat menjadi khalifah selama 2 tahun tetapi tempoh pendek itu dipenuhi dengan kecemerlangan yang tidak dapat ditandingi oleh khalifah-khalifah Bani Umayyah yang lain. Inilah pentingnya mendapat ‘umur’ yang berkat.
Manakala ilmu yang berkat pula ialah ilmu yang mampu menyuluh kelemahan diri, menyuluh kebesaran Allah dan menambah amalan soleh kita. Rezki yang berkat pula akan menjadi sumber kekuatan untuk melaksanakan ketaatan, baik ketaatan kepada Allah mahupun khidmat sesama manusia.
Inilah peri pentingnya kita berselawat sebelum berdoa.Tanpa berselawat sekaligus putus hubungan dengan Allah. Bila hubungan kita putus dengan Allah, berbagai-bagai kesusahan akan berlaku. Yang paling kita takuti, hilang keberkatan dalam hidup. Ini akan menyebabkan rezeki kita walaupun banyak tetapi masih tidak cukup-cukup malah melalaikan kita pula.
Umur kita mungkin panjang tapi sayangnya sarat pula dengan dosa. Usaha kita mungkin banyak, tapi tidak dapat meraih kejayaan. Ilmu pun mungkin banyak, tapi menyebabkan kita lalai dan derhaka kepadaNya. Makin tinggi ilmu, semakin ego. Jadi, marilah kita banyak berselawat, justeru ia adalah sumber keberkatan dalam kehidupan!
0

Agama Sebuah Perjalanan Hidup

Assalamualikum dan salam sejahtera...
Tiada ape yang nak dikongsikan bersama para pembaca sekalian.. hanya post2 yang kurasakan penting dan perlu di kogsi bersama...untuk mencetuskan satu pemikiran diriku dan para pembaca berkenaan satu tajuk Apakah Kepentingan Beragama Didalam sesebuah  kehidupan...Dan  " Agama Adalah Sebuah Perjalanan Hidup"
Agama adalah perjalanan sebuah kehidupan. Setiap hari kita menjalani apa yang telah sedia diterangkan di dalam Al-Quran. Samada kita menjadi lebih baik atau tidak semuanya sedia dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran. Lalu pilihlah golongan mana yang kita ingin digolongkan. Kerana balasannya telah siap disediakan Allah samada baik atau buruk. Menunggu waktunya sahaja.
Percakapan kita adalah agama, berpakaian kita adalah agama, pergerakan kita adalah agama, berfikir kita adalah agama, tingkahlaku kita adalah agama, pemerhatian kita adalah agama, pendengaran kita adalah agama…. semuanya adalah agama. Agama bukan sahaja aturan atau jalan hidup tetapi agama ini adalah hidup kita ini. Setiap nafas kita ini adalah agama.
Hidup ini mempunyai proses. Proses inilah agama. Unit ukurannya adalah iman. Hasilnya adalah taqwa di mana ketika kita memiliki taqwa, bermakna jiwa dituntun Allah untuk sentiasa melakukan kebaikan.
Seandainya iman hilang entah ke mana, kita tidak memiliki taqwa lalu dinamakan fujur. lalu kita memiliki keburukan dan jiwa dituntun Allah dengan kegelisahan dan kesempitan sehingga kita sentiasa ingin melakukan kejahatan.
Masalah umat islam sekarang ini memahami agama ini sekadar aturan dan hukum hakam agama. Berpisah daripada kehidupan. Dianggap hidup yang mengikut kehendak Allah adalah hidup beragama tetapi hidup jauh dari perintah Allah adalah hidup tidak beragama.
Sedangkan apa sahaja kita lakukan, itulah agama. Baik buruk yang kita lakukan semuanya siap sedia dijelaskan Allah dalam Al-Quran.
Selagi kita menganggap agama ini sekadar aturan Allah bukannya seluruh kehidupan kita ini bersama semua makhluk yang Allah ciptakan, maka kita akan berasa agama itu terpisah. Samada kita ingin mengambilnya atau tidak.
Sedangkan agama ini tidak boleh dipisahkan dari kita walau siapapun kita samada beriman atau tidak. Namun setiap apa yang kita lakukan ada balasan yang dijanjikan oleh Allah kepada kita.
Oleh kerana perjalanan hidup ini yang merupakan satu proses kehidupan iaitu dikenali sebagai agama, maka pastikan setiap hari kita menjadi orang yang sentiasa memiliki iman bersama iman yang telah lalu.
Orang kristian menjalani hidup kristian. Mereka melalui proses kehidupan kristian. Beragama kristian. Begitu juga hindu, buddha dan lain-lain. Kerana itu cara hidup kita berbeza dengan mereka.
Pastikan agama yang kita jalankan adalah agama yang diredhai Allah iaitu agama Islam. Selain dari Islam, proses hidup tidak akan diredhai.
Walaupun agama kita islam, namun kita BELUM BENAR menjadi orang yang beragama selagi tidak menjalani hidup ini seperti yang diperintahkan Allah SWT.
Ketika kita melakukan apa yang Allah SWT perintahkan, ketika itu benarlah agama kita adalah agama Islam di mana kita menjalani hidup Islam.
Lalu sentiasalah berada dalam kehidupan Islam. Melalui proses kehidupan yang berlandaskan Islam. Sentiasa berada dalam proses agar memiliki Iman yang lebih baik dan lebih baik dari hari ke hari.
Kekadang kita melakukan kesalahan dan kesilapan. Mohonlah keampunan dari Allah SWT. Inilah proses dan proses hidup cara Islam adalah sentiasa kembali kepada Allah SWT… memohon maaf… memohon petunjuk dan kekuatan.
Kita tidak akan pernah belajar sesuatu seandainya kita tidak pernah salah dan silap.
Kita tidak pernah melalui proses hidup yang lebih baik dari hari ke sehari seandainya kita tidak pernah gagal. Jadikan semalam pengajaran, hari depan adalah misi dan yang UTAMA ADALAH HARI INI kerana tindakan hanya mampu dilakukan hari ini… saat ini.. NOW.
Fahamilah… kita setiap saat sedang beragama dan pastikan kita benar-benar beragama Islam.
Artikel : www.fuadlatip.com
0

Perjalanan Ke Syurga

Kita semua akan pulang kepada Allah. Ya. Itu satu kepastian. Dan semua kita inginkan syurga. Cuma yang berbeza, hanyalah cara kita menuju ke sana. Ada yang bergerak lambat, ada yang cepat, ada yang sangat-sangat pantas. Bahkan, ada yang tidak sampai-sampai. Namun, Allah s.w.t. tidak pernah biarkan hamba-Nya terkapai-kapai dalam perjalanan menuju-Nya. Disebabkan kita ada yang lambat, ada yang cepat, maka Allah motivasikan kita dengan khabar-khabar dari syurga. Supaya apa? Supaya dengan cerita-cerita syurga itu, yang lambat, dapat mempercepatkan langkahannya. Supaya dengan motivasi syurga itu, yang cepat, terus istiqamah di atas jalan yang benar, tidak jatuh dan terhenti di pertengahan dalam perjalanan itu, bahkan membantu yang lambat.
TEMASYA SYURGA, TEMPAT BERSAMA ORANG YANG KITA CINTA
Tidak ada orang yang berjaya masuk syurga ingin hidup keseorangan sunyi dalam syurga. Tiada teman, tiada kawan. Seboleh mungkin, kita ingin hidup di syurga nanti bersama dengan orang-orang yang paling kita cinta sewaktu di dunia dahulu.
Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik r.a., ada seorang Arab badwi bertanya kepada Rasul s.a.w.,
“Bilakah kiamat itu tiba?”
Rasulullah bersabda : “Apa yang telah kamu persiapkan untuk itu?”
Lelaki itu menjawab : “Cinta Allah dan Rasul-Nya.”
Rasulullah menjawab : “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.” [HR Muslim, No. 4775]
Kalau orang yang kita cinta itu adalah ibu ayah kita, maka kita ingin sangat agar dapat bersatu semula bersama ibu ayah kita di syurga nanti. Kalau orang yang kita cinta itu adalah adik-beradik kita, kita ingin melihat wajah-wajah abang, adik dan kakak yang kita sayangi itu nanti bersama kita di syurga. Kalau orang yang kita cinta itu adalah sahabat kita, maka kita sungguh tidak sabar-sabar lagi untuk berpimpin tangan bersamanya ke syurga. Kalau orang yang kita cinta itu adalah isteri kita, maka sangat tinggi harapan kita untuk bersatu semula bersama isteri kita di sana nanti kerana dialah pelengkap kebahagiaan dan ketenangan kita ketika di dunia. Namun, semua ini hanya akan dapat dicapai bila kita melakukan taqmil wa istiqmal. Apa itu?
LAMBAT DAN CEPAT, LEMAH DAN KUAT, PERLU SALING MELENGKAPI
Taqmil wa istiqmal itu adalah saling melengkapi. Kita ada kelebihan dan ada kelemahan. Orang lain juga sama, ada kelebihan dan kekurangan. Tidak ada yang perfect, betul semua 100%. Dengan kelemahan yang kita ada itu, ia perlu ditampung dengan kelebihan yang ada pada orang lain. Begitulah juga, kelebihan yang ada pada kita perlu digunakan untuk membantu orang lain. Maka, barulah akan terbentuk satu masyarakat yang kuat.
Kita semua ada kesilapan, ada kesalahan, ada kekurangan. Bila proses taqmil wa istiqmal ini saling dilaksanakan, maka pastinya tidak ada kesilapan yang tidak dibetulkan, pastinya tidak ada kesalahan yang tidak ditegur, dan pastinya tidak ada kekurangan yang tidak diperbaikkan.
Jumpa sahaja dengan saudara kita di jalan-jalan, kita tidak segan-segan untuk bertegur sapa dan bertanya khabar serta melebarkan senyuman. Bila melihat saudara kita melakukan kesilapan, kita tidak hanya memandang dan membiarkan sahaja, tetapi kerana rasa cinta kepada saudara kita, kita menegurnya meskipun kita mungkin dimarahi semula.
Bila melihat saudara kita jauh daripada jalan iman, kita bersegera untuk lebih dekat dengannya, supaya kita mampu membetulkannya semula. Bukan bila dia jauh daripada jalan iman, kita pun menjauhinya.
Ingatkah bagaimana kisah Abu Zar dengan Bilal bin Rabah? Bila Abu Zar telah mengeluarkan kata-kata tidak elok kepada Bilal hanya dengan mengatakan, “Wahai budak hitam…” Maka, ditegur oleh Rasul s.a.w. bahawa dalam diri Abu Zar masih ada jahiliah. Lalu, apa yang dilakukan oleh Abu Zar. Adakah dia marah dengan teguran itu? Tidak. Bahkan, dia pergi berjumpa dengan Bilal, sambil meletakkan mukanya di atas tanah, dia meminta Bilal memijak mukanya sebagai membalas perbuatannya yang mengeluarkan kata-kata itu.
Kita hari ini, bagaimana? Kalau hendak dinisbahkan cara hukuman Abu Zar terhadap dirinya dengan kita, pastinya muka kita ini lebih layak dipijak banyak kali berbanding Abu Zar, tidakkah begitu?
BAGAIMANA MEREKA BERGERAK, SEPATUTNYA BEGITULAH KITA
Mereka adalah generasi contoh. Generasi awal Islam yang sentiasa memberi motivasi untuk kita terus berjuang. Lihatlah mereka dan ambillah pengajaran. Bagaimana hebatnya ukhuwah antara Abd Rahman bin Auf dan Saad bin Rabi dalam peristiwa Hijrah, itulah yang ingin kita contohi.
Mereka itu tidak pernah pun berjumpa, bahkan tidak pernah berutus surat apalagi bertanya khabar melalui facebook seperti yang kita miliki sekarang. Mereka memang tidak pernah berjumpa kecuali pada waktu hijrah itu sahaja. Tetapi, lihatlah. Bila mereka dihubung atas iman, ukhuwah yang mendominasi diri mereka menyebabkan proses taqmil wa istiqmal itu berjalan dengan hebat sekali.
Abd Rahman datang dalam keadaan tidak memiliki apa-apa. Saad bin Rabi’ selain menawarkan separuh hartanya, dia juga menawarkan isterinya. Antara dua orang, pilih sahaja isteri mana satu yang dikehendaki oleh Abd Rahman bin Auf. Kalau kita di tempat Abd Rahman, apa yang kita lakukan agaknya bila menerima tawaran sebegitu? Abd Rahman bin Auf bahkan tidak mengambil kesempatan langsung di atas kemurahan hati saudaranya itu. Beliau cuma meminjam beberapa dinar daripada Saad bin Rabi’ sebagai modal memulakan perniagaannya.
Mereka itu, mampu saling melengkapi dalam keadaan tidak mengenali, bahkan menjadi lebih hebat setelah mereka saling mengenali. Kita bagaimana?
PENUTUP : TEMASYA KE SYURGA PERLU DIGERAKKAN BERSAMA
Saidina Abu Bakar as-siddiq ketika mula-mula dilantik menjadi khalifah, beliau telah berpesan:
“Wahai umat manusia, sesungguhnya aku telah dilantik di kalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka, jika aku melakukan kebaikan, bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong, maka betulkanlah aku.”
Perhatikanlah kerendahan hati seorang sahabat Nabi. Walaupun beliau seorang sahabat yang sangat akrab dengan Nabi s.a.w., tetapi beliau tetap meminta agar orang lain dapat membantu melengkapkan dirinya. Bila kita saling melengkapi, maka pastinya lebih mudah perjalanan menuju Ilahi ini. Bila kita saling melengkapi, pastinya kebahagiaan hidup di atas iman lebih mudah dirasai.
Kita tidak hanya ingin sekadar diri kita sahaja menapak di syurga, bahkan kita akan rasa sangat terkilan bila melihat mereka yang pernah bersama kita di dunia, tidak bersama kita di syurga.
Lihatlah Rasul s.a.w., beliau tidak hanya merisaukan dirinya, tetapi sibuk memikirkan tentang ummatnya. Bahkan, di akhirat nanti, bila dibangunkan semula di akhirat nanti, perkara pertama yang menjadi kerisauannya adalah ummatnya.
Kita, adakah saudara kita yang bersama kita sekarang ini, menjadi kerisauan kita, atau kita hanya sekadar merisaukan diri kita? Suasana dalam syurga itu nanti sebagaimana yang digambarkan oleh Allah s.w.t dalam surah Al-Waqiah ayat 25-26 bermaksud :
“Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa. Mereka hanya mendengar ucapan: ” selamat! selamat! ” (dari satu kepada yang lain).”
Dalam syurga, kita hanya mendengar ucapan salam dan ucapan yang baik sahaja antara ahli syurga. Itulah kehebatan temasya di syurga nanti. Hubungan yang baik antara ahli syurga. Tetapi, jika kita tidak mula mempraktikkannya bermula daripada di dunia, apakah mungkin ada ruang dan peluang untuk kita merasainya ketika di akhirat nanti?
Hendak merasai keindahan temasya di syurga, maka kita perlu merancang temasya itu bermula di dunia lagi. Temasya syurga hanya mampu dinikmati keindahannya bila proses taqmil wa istiqmal dilaksana ketika di dunia !
Artikel : langitilahi.com