Pages

Powered by Blogger.

SlideShow

.
0

Keihklasan Dalam Kehidupan







Assalamualaikum.........




Saidina Ali r.a berkata :"Janganlah kamu risau dengan amalan yang sedikit, tetapi risaulah apakah amalan itu dapat diterima oleh Allah! Hal ini kerana Rasulullah S.A.W pernah bersabda kepada Muaz Bin Jabal :
"Ikhlaskanlah amalanmu dan sudah mencukupi untukmu amalan yang sedikit asalkan dilakukan dengan ikhlas."(Riwayat Dailani)
Allah S.W.T berfirman :
"Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat yang ikhlas (bawaan yang suci bersih daripada segala rupa syirik). (Az-Zumar : 3)
Allahuakbar!
Saya cukup takut apabila diperdengarkan atau diperkatakan tentang IKHLAS, di saat itulah saya akan muhasabah kembali apa-apa yang telah saya lakukan.
'Ikhlas ke aku buat tadi?'
Jika tidak, pasti saya akan dapat merasakan hati tidak tenang, lantas perkataan yang sebaiknya pada itu kita lafazkan ialah Astagfirullahal'azhim!
Dan kita perlu sedar, segala apa yang kita lakukan, itu adalah kehendak dari-Nya jua, bukan sebab bagusnya kita! Sebaiknya dialog hati yang sepatutnya terlintas di hati seorang hamba antaranya :
"Ya Allah, aku mampu beribadah dengan kehendak-Mu jua ya Allah, siapalah aku jika tanpa-Mu ya Allah, Dikaulah tempatku bergantung, Dikaulah tempat ku berlindung!"
Keikhlasan yang bersungguh-sungguh, tidak mungkin tercipta melainkan daripada seseorang yang betul-betul mencintai Allah dan tidak ada tempat sedikit pun dalam hatinya untuk mencintai harta keduniaan.
Allahuakbar!
Susahkan? Insya-Allah, sama-samalah kita berusaha mencapai dan tergolong dalam golongan mukhlisin.
Teringat saya, slot rancangan Al-Kuliyyah di TV3, ustaz ada menyatakan bahawa, Imam Ghazali menyatakan, sebelum seseorang itu mencapai tahap ikhlas mereka akan melalui sedikit juga perasaan riak.
Contohnya seseorang yang sebelum ini tidak pernah menunaikan solat berjemaah di masjid, tiba-tiba mahu menunaikan solat di masjid, sedikit sebanyak akan datang juga sifat mahu menunjuk-nunjuk. Tetapi, Insya-Allah lama-lama akan ikhlas jika benar-benar kerana Allah.
Kalau kita dahulu pun, jika solat perlu tunggu mak abah suruh dahulu baru hendak solat.
Solat kerana apa?
Kerana arahan ibu bapa, tetapi Alhamdulillah lama-lama kita mampu untuk mengerjakannya dengan sendiri walaupun tiada ibu bapa di depan mata kita.
Tapi malangnya, ada juga manusia yang tidak mahu melakukan kebajikan hanya dengan alasan:
'Eh, tak naklah derma, takut tak ikhlas.'
Memang terdapat manusia seperti ini. Jangan sampai macam tu pula pemikirannya, yang penting kita usaha ke arah ikhlas, ia memang bukan mudah, tetapi Allah tahu apa yang terbuku di hati hamba-hamba-Nya.
Sedar tidak kita, bahawa jika kita tidak ikhlas, kita telah mensyirikkan Allah.
Nauzubillah!
Mana tidaknya, kita buat sesuatu sebab lain, sebab orang, sebab mahukan habuan dan sebagainya.
Allah! Takutnya.
"Ya Allah, mampukanlah kami dalam melakukan ibadah hanya untuk-Mu, hanya kerana-Mu, bukan sebab makhluk dan ciptaan-Mu ya Allah!"
Allah berfirman:
"Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan apa-apa pun dalam ibdahnya kepada Tuhannya! (Al-Kahfi : 110)
Kita memberi bukan untuk menerima menabur budi bukan untuk dianggap berjasa tulus, Putih dan murni hati kita memberi adalah kerana-Nya jua.
Tidak mengapa jika tidak dikenang asalkan segalanya memberi satu ketenangan,
Menyebut kebaikan meragut keikhlasan bukan kerana kelebihan kita.
Dalam samar mainan rasa, kekadang datang jua serpihan bangga,
Mengharap adanya balasan mendamba hadirnya kemasyhuran.
Bukan itu yang diburu sejak mula ditagih kasih rasa di depan-Mu,
Apabila terasa segalanya dari-Mu, rebahlah segala daripadaku yang hina.
TUHAN...
Dunia ini tidak panjang,
Tahun terasa detik di putaran usia,
Mengharap yang abadi,
Akan lenyap segala ilusi,
Bantulah aku dalam memahami rahsia itu.
(Di Mana DIA di hatiku, ustaz Pahrol)
Yaakub Maktuf berkata :
"Orang yang ikhlas itu ialah orang yang suka menyimpan (tidak menyiarkan) amal-amal kebaikannya sebagaimana ia suka menyimpan (tidak suka menyiarkan) keburukannya."
0

Hati Yang Kepanasan ( Panas Baran )






Assalamualikum...


Kita pasti pernah mempunyai rasa marah bukan?

Marah sebenarnya apabila kena pada tempat ia akan menjadi terpuji tetapi marah kalau tidak kena tempat itu adalah keji.


Apakah perbezaan panas baran dengan tegas?

Perlukah kita ada rasa marah dalam jiwa?

Saya akan cuba huraikan sebaik mungkin berkenaan isu ini.

Pernah suatu ketika dahulu Abu Darda' bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang apakah amalan yang boleh membawa aku untuk masuk ke syurga.

Rasulullah S.A.W menjawab, "Jaga kemarahanmu, jaga kemarahanmu, jaga kemarahanmu." Rasulullah mengulang pesanan ini sebanyak tiga kali. Jadi jelas kepada kita semua bahawa kita perlu mengawal sifat marah.


Perlulah kita semua mengisi hati kita dengan dua benda iaitu Iman dan kasih sayang. Jika tiada kasih sayang dalam hati kita, tidak mustahil akan timbul kebencian.

Contoh kebencian yang wujud itu ialah marah. Marah ini boleh jita ibaratkan sebagai bola bagai syaitan, boleh disepak terajang oleh mereka.

Sesungguhnya marah itu datang dari syaitan, dan syaitan itu dari api.

Apa yang boleh memadamkan api? Air bukan?

Jadi salah satu cara hendak memadamkan api kemarahan ini ialah dengan wuduk dan zikir. Ada juga amalan-amalan lain yang disarankan seperti mengamalkan ayat dalam surah At-Taubah ayat 129 dan surah al-Baqarah ayat 88.

Jadilah kita antara orang-orang yang bijak, kerana orang yang bijak ini adalah orang yang pandai mengawal kemarahannya.

Kita perlu "mengotakkan" fikiran kita antara kerja, rumah, tanggungjawab dan sebagainya. Jangan jadikan anasir luar mengubah bentuk dan kehidupan asal kita.

Ada suatu kisah seorang isteri yang amat tertekan dengan suaminya yang panas baran.Pantang silap sikit disepak terajang isterinya. Dan si isteri yang penyabar ini berusaha dengan berdoa dan memohon kepada Allah disertakan solat hajat selama 40 hari.

Dua benda yang dipohon olehnya iaitu agar diberi kekuatan untuk menegur suami dan dilembutkan hati suami.

Apa yang terjadi, si isteri ini berjaya menegur suaminya hinggakan suaminya mengalirkan air mata. Subhanallah. Sesungguhnya hati manusia ini milik Allah, dan janganlah kita lupa serta leka dari memohon kepada-Nya.

Moga-moga ujian yang diberikan kepada kita menjadikan kita lebih dekat kepada Allah. Semua manusia diuji.

Cucu Rasulullah S.A.W iaitu Husin juga diuji. Kita dapat lihat betapa sabarnya beliau ketika dimaki, dicaci oleh penduduk kampung ketika berjalan seorang diri. Beliau hanya diam mendengar cacian mereka. Bayangkan betapa sabarnya Husin ini.

Jika kita melaluinya, bagaimana?

Orang mengutuk kita, mencaci dan mengejek kita, masih mampukah kita tersenyum dan berdiam diri?

Tepuk dada, tanya iman. Kadang-kadang kalau bukan tangan yang menghayun ke pipi, kaki yang terajang dahulu bukan?

Sama-samalah kita cuba tanamkan sifat sabar dalam diri kita, Insya-Allah, dengan kesungguhan kita untuk berubah, Allah mempermudahkannya.

Jika ada di antara kita ini ada sifat panas baran, marilah sama-sama kita mengubatinya, agar sekeping hati yang kita miliki itu adalah hati yang bersih dan suci. Dan dengan hati yang suci ini, kita mampu menyampaikan dakwah Islam dengan baik.

Moga bicara dibibir kita ini adalah bicara yang mampu membangunkan umat Islam dan bukan memusnahkan kerana jika bicara kita jernih bak air zam-zam, maka jernihlah ia.

Tetapi jika keruh bak kopi, maka keruhlah segalanya. Berwaspada terhadap bicara kita kerana sebaik-baik bicara adalah bicara yang sentiasa mengingati Allah.
4

Berbahagialah Wahai Kaum Wanita





Assalamualaikum...


Siapa kata jadi perempuan itu senang?
Perlu tutup sana, tutup sini,
Cuba lihat budak lelaki, pakai baju pagoda pun orang tidak bising.
Perempuan. Stoking perlu pakai.
Cuba suruh budak lelaki jadi perempuan satu hari.
Pasti menangis air mata darah, kerana tidak tahan bertutup semua.
Tetapi, perempuan sentiasa sabar. Tengah panas masih boleh lagi memakai jubah.
Hebatkan perempuan?
Siapa kata jadi perempuan itu senang?
Tiap-tiap bulan, mesti ada penyakit. Hendak pergi kelas pun susah.
Kalau boleh, masa tengah jalan merasakan hendak meraung kerana kesakitan.
Cuba lihat budak lelaki , mereka nampak gembira. Kadang-kadang setahun sekali pun susah dapat sakit, tetapi sekali sakit, merungut bagai tidak ingat dunia.
Tetapi, perempuan hidup berpuluh-puluh tahun dengan penyakit tiap-tiap bulan, masih boleh tersenyum menyimpan kesakitan yang dialaminya.
Hebatkan perempuan?
Siapa kata jadi perempuan itu senang?
Hati ini Allah S.W.T jadikan sangat lembut.
Hati cepat sensitif.
Cuba lihat orang putus cinta. Kebiasaannya perempuan yang paling susah hendak lupa.
Lelaki selepas putus cinta cepat mencari pasangan baru.
Cuba pergi wayang tengok cerita Hindustan, siapa yang paling teruk menangis?
Perempuan bukan? Lelaki masih boleh ketawa.
Sungguh lembut hati perempuan. Tetapi dengan hati yang lembut itu perempuan dapat mengkagumkan lelaki. Hebat tidak perempuan?
Siapa kata jadi perempuan itu senang?
Apabila hendak keluar ke mana-mana, sentiasa ketakutan. Kerana berita asyik-asyik keluar cerita orang kena rogol, kena culik.
Lelaki pukul dua pagi masih boleh keluar minum kopi tengok bola.
Siapa kata jadi perempuan itu senang?
Jika dirogol, perempuan disalahkan kata tidak jaga pakaian,
Apabila buang anak, perempuan disalahkan cakap berhati binatang,
Apabila buat salah sikit, kena marah dengan suami,
Apabila bising terlebih, kena label perempuan tidak sopan
Betapa susah hendak jadi perempuankan?
Disebabkan susahnya hendak jadi perempuan inilah, ramai perempuan yang merajuk dengan Allah.
Mereka berkata, Allah S.W.T tidak adil.
Mengapa AllahS.W.T lebihkan lelaki?
Mengapa perempuan perlu dengar cakap suami?
Mengapa syurga perempuan terletak di bawah kaki suami?
Walhal jadi perempuan itu sangatlah susah. Bak kata orang, hendak jaga sepuluh anak lelaki, tidak susah seperti menjaga seorang anak perempuan.
Disebabkan perasaan negatif pada Allah S.W.T ini, ramai perempuan di luar sana yang ditolak.
Mereka pakai pakaian yang tidak menutup aurat dengan alasan, 'lelaki tak payah tutup pun!'
Mereka berani bertepuk tampar dengan lelaki. Mereka sanggup gadaikan diri mereka kerana percaya dengan janji manis kekasih yang busuk hati.
Kasihan pada mereka bukan?
Disebabkan fikiran yang negatif terhadap Allah S.W.T, mereka sanggup rosakkan diri mereka.
Mereka berkata mereka lakukan seperti itu kerana Allah S.W.T tidak adil.
Persoalannya sekarang,adakah benar Allah S.W.T tidak adil pada perempuan?
Betul, syurga perempuan terletak di bawah kaki suami.
Tetapi, cuba ingat kembali, syurga seorang anak lelaki terletak di bawah kaki siapa jika bukan pada kaki ibunya?
Betul, isteri kena ikut cakap suami.
Tetapi, seorang anak lelaki perlu taat pada ibunya tiga kali lebih utama daripada ayahnya.
Tidak adil lagikah Allah S.W.T pada perempuan?
Allah bukan setakat adil, tetapi Allah itu sangat sayang pada perempuan.
Untuk lelaki, syurga isterinya terletak di bawah kakinya.
Jika paling banyak lelaki ada empat orang isteri.
Cuma ada empat orang yang syurganya bergantung pada seorang lelaki itu.
Tetapi perempuan, ditakdirkan ada lima belas orang anak lelaki.
Bermakna ada lima belas orang yang syurganya terletak pada seorang perempuan itu.
Masya-Allah, hebatnya perempuan bukan?
Mengapa perempuan hebat?
Kerana kasih sayang Allah S.W.T yang menjadikan kita hebat!
Cuba didengari pula lagu-lagu yang berkumandang pada radio.
Banyak lagu berkaitan perempuan bukan?
Jarang kita dengar lagu berkaitan lelaki.
Sayang sungguh Allah S.W.T itu pada perempuan, hingga perempuan dikasihi seperti itu sekali di dunia ini.
Lihat pula apabila seorang lelaki berjaya.
Orang akan berkata, 'Disebalik kejayaan seorang lelaki terdapat seorang perempuan di belakangnya.'
Kita tidak pernah dengar orang berkata, 'Disebalik kejayaan seorang perempuan terdapat seorang lelaki di belakangnya.'
Sungguh hebat Allah S.W.T jadikan perempuan itu.
Masih tidak adil lagikah Allah S.W.T pada perempuan?
Hakikatnya, Allah S.W.T terlampau adil pada perempuan.
Disebabkan susahnya hendak menjadi perempuan ini, perempuan senang hendak masuk syurga. Berdasarkan satu hadis :

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)

Tidak adil lagikah Allah S.W.T pada perempuan?
Oh perempuan, sedarlah.
Betapa sayangnya Allah S.W.T pada kita. Betapa cintanya Allah S.W.T  pada kita.
Tetapi, mengapa kita rosakkan diri kita kerana fikiran-fikiran negatif yang tidak berasas pada Allah S.W.T?
Allah S.W.T jadikan perempuan itu sebagai hiasan dunia.
Bayangkan, dunia yang besar ini, dunia yang cantik ini, kita jadi hiasannya.
Seindah-indah hiasan itu adalah wanita solehah.
Betapa ruginya kita sekiranya ditolak menjadi seindah-indah perhiasan dunia bukan?
0

Aurat Oh Aurat







Panorama dunia kini, aurat dipandang sepi,

Dibiar terdedah begini,

Kerana hilangnya malu dalam diri.

Di manakah engkau letakkan maruah ini?

Yang menutup rapi, senang berkongsi,

Jutaan mata memerhati meneliti, cuba bertanya pada hati.

Kerana siapa menutup aurat ini?



Penampilan refleksi akhlak.

Pakaian lambang peribadi. Luaran yang diri sendiri perlihatkan adalah salah satu penyebab bagaimana 'first impression' manusia terhadap diri kita. Persekitaran mungkin mendesak saya berbicara tentang ini. Luaran terkadang tidak seiring dengan dalaman. Bimbang andai menjadi fitnah pula.

Terkadang yang menutup sedikit lebih baik daripada yang menutup banyak. Tetapi manusia itu tetap manusia yang punya kesalahan dan tidak sempurna. Yang punya peluang untuk menjadi lebih baik.

Andai berniqob, tonjolkan peribadi yang pandai menghormati hak orang lain. Andai bertudung labuh, tunjukkan peribadi yang mudah menuturkan kata maaf atas kesalahan.

Saya suka melihat dia. Dia yang sememangnya dari jurusan yang kebanyakan penuntut satu aliran dengannya memakai 'shawl' dan tudung singkat yang tidak diluluskan. Tetapi dia unik dengan menyarung tudung labuh. Memberi contoh sentiasa berzikir walau dalam majlis formal. Hebat. Bangga punya sahabat sepertinya.

Pengalaman. Dari sini ada sesuatu yang saya hendak sampaikan. Mereka. Anda. Kita. Yang bertudung labuh hatta berniqob sekalipun, tunjukkanlah contoh yang baik. Berakhlaklah seperti mana pemakaian.

Terkadang disebabkan sikap segelintir yang bertudung labuh mahupun berniqob yang kurang baik, menyebabkan wujud golongan anti tudung labuh terutamanya. Antara faktornya ialah ukhuwah renggang. Daripada sahabat yang mengalami. Masakan pokok akan bergoyang andai tiada angin yang mengusik. Kerana nila setitik, rosak sudah susu sebelanga.

Konsepnya sama sahaja dengan Islam. Islam itu adalah satu cara hidup yang benar. Tetapi oleh kerana sikap penganut agamanya sendiri tidak menggambarkan peribadi akhlak yang diajar Islam.

Bagaimana mereka yang belum mendapat hidayah dan petunjuk bisa merasa kagum dengan Islam?

Tetapi keadaan umat Islam tidak semestinya menggambarkan Islam itu adalah begitu dan begini.

Benar, bukan?

Jika seorang muslim itu meneguk arak, tidak bermakna Islam mengajar arak itu halal. Lihat. Kesimpulan akhirnya kembali kepada manusia itu sendiri.

Jaga penampilan dan peribadi. Saya menghormati seorang kakak yang berniqob ini. Sering sahaja bangun malam dan kata-katanya penuh motivasi. Fikirannya matang. Lihat. Ini baru muslimah berniqob yang hebat.

Seorang kakak hafizah bertudung labuh. Wajah dan kata-katanya sahaja mendamaikan hati. Tenang. Hebat. Saya kagum.

Seorang kakak bertudung labuh tetapi bukan daripada jurusan agama. Semangatnya dalam dakwah begitu membara sehinggakan saya terasa akan tempiasnya. Dia seorang kakak yang penuh ketenangan dan semangat. Memberi kekuatan kepada diri.

Saya banyak belajar pelbagai perkara daripada manusia. Dengan melihat. Merenung sendiri. Ya, sememangnya jurusan tidak menjanjikan apa-apa. Bukan kerana jurusan atau penampilan semata-mata seseorang itu hebat. Ada yang begitu tetapi yang mahu ditekankan adalah peribadi dalam diri. Saya suka mengenali seseorang. Melihat kepada akhlak. Dari situ dapat kita kenali hati budi manusia.

Apa yang baik kita lihat pada orang, kita belajar. Apa yang salah kita lihat pada orang, juga kita ambil dan belajar. Dari situ, kita lihat pula diri kita. Ini sebenarnya. Bukan kita lihat keburukan seseorang dan seterusnya membenci. Doa untuk dia. Doa juga buat diri sendiri.

Seorang kakak alam maya yang saya kenali. Walau bukan bertudung labuh, fikirannya matang. Beliau mempunyai pendapat yang sama dengan saya.

Terkadang mereka yang punya ilmu agama dan lebih menonjol dengan imej soleh atau solehah serta kopiah dan tudung labuh tidak menjanjikan peribadi yang unggul. Itu mungkin kerana ilmu yang ada tidak diamalkan. Mungkin. Lihat kembali diri sendiri bagaimana. Perlu bimbang dengan diri sendiri.

Ada juga sahabat yang saya kenali. Tiada pernah bertemu. Perkenalan tanpa sengaja. Dia bukanlah muslimah bertudung labuh. Dia bukanlah pelajar universiti. Tetapi punya semangat seperti mereka yang belajar di institusi pengajian tinggi.

Punya kata-kata seperti pelajar universiti yang mengambil jurusan agama! Peribadinya seperti yang dituntut daripada si pemakai tudung labuh mahupun niqob. Menitiberatkan solat sunat. Kata-kata sering berkait dan mengingatkan saya dengan kebesaran Allah S.W.T. Saya amat menyayangi dia, walau dari kejauhan.

Terharu. Pernah mengejutkan saya bangun sahur dengan hanya mesej. Walau tanpa diminta. Menceriakan hari dengan ucapan selamat pagi. Jika saya berjaya menggapai sesuatu, dia benar gembira tanpa rasa dengki.

Saya dapat merasakan itu. Hanya mampu senyum melihat fenomena sekeliling. Andai saya bersedih, saya amat percayakan dia untuk meluah rasa gundah. Hairan kerana saya tahu diri sendiri sedikit sukar untuk mempercayai manusia.

Sukar benar mahu mencari sahabat yang berfikiran sama seperti diri.

Andai persahabatan itu benar ikhlas, pasti sampai ke dalam hati, bukan?

Dan saya tahu inilah sahabat sebenar. Senyum. Dunia penuh teka-teki. Atas pentas drama dunia. Berliku. Menarik.

Saya lebih suka fokus kepada yang telah sedia sempurna menutup aurat. Saya suka menekankan tentang niat dalam setiap perkara. Seorang gadis yang menutup aurat dengan sempurna. Alhamdulillah. Tetapi bagaimana seandainya memakai jubah dan tudung labuh itu bukanlah kerana Allah?

"Wah, cantik aku pakai jubah, mesti ramai lelaki yang tertarik."

"Aku pakai niqob ni nampak baik, lain daripada yang lain."

Sekadar contoh. Niat merupakan paksi dalam segala amalan. Setiap apa yang kita lakukan di dunia adalah hanya kerana Allah. Kita menutup aurat kerana Allah.

Kita menyarung pakaian sebegitu bukan mahu bergaya dan ingin menyarung baju-baju yang cantik. Bukan itu yang cuma berlegar dalam fikiran. Mengikut arus fesyen moden semasa walaupun jubah. Tetapi katakan "Aku menutup aurat ini kerana Allah. Aku memakai baju begini kerana Allah."

Andai niat lain daripada matlamat sebenarnya, bagaimana amalan itu pada pandangan Allah?

Ada junior saya di UIA ini berkongsi mengatakan mahu berubah dalam penampilan. Senang dengan luahan hatinya. Dia punya hasrat ke arah itu. Tetapi terasa sedikit sukar untuk memakai pakaian seperti baju kurung kerana lebih selesa menyarung seluar. Tidak salah. Asal konsep menutup aurat itu ditepati. Asasnya longgar dan tidak jarang. Tudung dilabuhkan menutupi dada. Sudah cukup.

Tidak semestinya perlu memakai baju kurung dan menyarung jubah itu baru dikatakan menutup aurat dengan sempurna.

Tetapi sudah pasti kita mahu yang terbaik bukan?

Andaikan analogi makanan yang terhidang di atas meja. Memilih untuk ditutup dengan akhbar. Itu pun sudah cukup untuk menghalang lalat-lalat daripada menghinggapi makanan. Tetapi sudah pasti lebih baik andainya ditutup dengan tudung saji. Lebih terjamin dan selamat. Kerana tidak seperti akhbar yang ringan dan mudah terbang dibawa angin. Bisa menangkap maksud saya?

Andai terdetik mahu melakukan kebaikan, bersegeralah. Andai benar payah, ingatlah kematian. Peringatan bahawa kita nantinya akan ditanya dan dipertanggungjawab atas apa yang kita lakukan di dunia. Andai benar susah, cari sahabat yang menyokong dan berada dalam suasana tarbiah solehah. Cari kekuatan di situ. Saya percaya anda boleh!

Usah ditayang umum.

Sayang benar andainya muslimah yang cantik berkeadaan menutup aurat dengan sempurna memaparkan gambar di laman-laman sosial. Terus terang saya katakan di Facebook terutamanya.

Duhai muslimahku sayang, simpanlah fotomu. Ya, saya memahami. Terkadang segelintir mereka hanya mahu berkongsi aktiviti yang dilakukan bersama sahabat.

Tetapi usahlah diupload ke laman sosial. Mungkin gambar beramai-ramai masih boleh dipertimbangkan. Tetapi mesti difikir kembali saat ingin meng'upload' foto yang jelas memperlihatkan setiap inci wajah. Lihat. Ada mata-mata yang punya penyakit dalam hatinya terseksa.

Apakah mahu gambar itu disimpan lelaki-lelaki yang melihat kerana tertarik akan kecantikan?

Simpanlah yang berharga itu buat suamimu. Usah ditunjuk, anda sudah sedia cantik.

Tidak kasihankah kepada 'dia' yang menunggu entah di mana?

Jaga diri untuk dia. Lakukannya kerana Allah. Pesan saya. Deletelah. Saya sayang benar anda, anda dan anda. Maaf andai ada hati yang terluka. Masih hingga saat sekarang, pilihan di tangan sendiri.

Menutup aurat itu wajib. Ia satu perintah daripada Allah. Pencipta kita. Oleh itu, kita yang menyedari diri ini hanya hamba, patuhilah suruhan-Nya.

Susah? Mesti taat juga.

Andainya seperti solat. Malas? Memilih untuk meninggalkan solat. Andai malas, menunggu untuk rajin dan ikhlas, baru melaksanakan solat?

Ketahuilah, ikhlas itu tidak akan datang tanpa permulaan tindakan! Kuatkan hati untuk berubah sekarang!

Menutup aurat itu cukup mudah. Jangan memakai pakaian yang ketat dan jarang. Tutup aurat bukan membalut aurat. Menutup aurat itu tidak bermaksud mesti memakai baju kurung dan jubah tetapi asal sahaja konsep menutup aurat itu dipatuhi, mencukupi. Namun, kejarlah yang terbaik.

Andai diri ini sudah sempurna memakai jubah atau kebiasaan memakai baju kurung beserta tudung labuh, saat ini mula teropong hati.

Untuk siapakah kita lakukan itu?

Untuk menarik hati-hati lelaki supaya jatuh cinta?

Untuk menonjolkan imej solehah sebaik mungkin agar mata-mata yang memandang mengatakan kita ini baik?

Lihat, musuh durjana itu pakar dalam membisik. Jaga niat. Sama-sama berpesan. Untuk diri sendiri juga.
0

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW







KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD SAW.



Tarikh : 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriah

Tempat : Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanah kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah sakiti sesiapa pun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' di batalkan mulai sekarang.

Berwaspada lah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara perkara besar, maka berjaga jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara perkara kecil.

Wahai manusia , sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ata mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini,sembahlah ALLAH, dirikan sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan,dan tunaikan zakat dan harta kekayaan kamu, kerjakan ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak saorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan Beramal Solleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap ALLAH pada suatu hari untuk di pertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai maanusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesunguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku. hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikan ya-ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba hambaMU.