Kita semua akan pulang kepada Allah. Ya. Itu satu kepastian. Dan semua kita inginkan syurga. Cuma yang berbeza, hanyalah cara kita menuju ke sana. Ada yang bergerak lambat, ada yang cepat, ada yang sangat-sangat pantas. Bahkan, ada yang tidak sampai-sampai. Namun, Allah s.w.t. tidak pernah biarkan hamba-Nya terkapai-kapai dalam perjalanan menuju-Nya. Disebabkan kita ada yang lambat, ada yang cepat, maka Allah motivasikan kita dengan khabar-khabar dari syurga. Supaya apa? Supaya dengan cerita-cerita syurga itu, yang lambat, dapat mempercepatkan langkahannya. Supaya dengan motivasi syurga itu, yang cepat, terus istiqamah di atas jalan yang benar, tidak jatuh dan terhenti di pertengahan dalam perjalanan itu, bahkan membantu yang lambat.
TEMASYA SYURGA, TEMPAT BERSAMA ORANG YANG KITA CINTA
Tidak ada orang yang berjaya masuk syurga ingin hidup keseorangan sunyi dalam syurga. Tiada teman, tiada kawan. Seboleh mungkin, kita ingin hidup di syurga nanti bersama dengan orang-orang yang paling kita cinta sewaktu di dunia dahulu.
Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik r.a., ada seorang Arab badwi bertanya kepada Rasul s.a.w.,
“Bilakah kiamat itu tiba?”
Rasulullah bersabda : “Apa yang telah kamu persiapkan untuk itu?”
Lelaki itu menjawab : “Cinta Allah dan Rasul-Nya.”
Rasulullah menjawab : “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.” [HR Muslim, No. 4775]
Kalau orang yang kita cinta itu adalah ibu ayah kita, maka kita ingin sangat agar dapat bersatu semula bersama ibu ayah kita di syurga nanti. Kalau orang yang kita cinta itu adalah adik-beradik kita, kita ingin melihat wajah-wajah abang, adik dan kakak yang kita sayangi itu nanti bersama kita di syurga. Kalau orang yang kita cinta itu adalah sahabat kita, maka kita sungguh tidak sabar-sabar lagi untuk berpimpin tangan bersamanya ke syurga. Kalau orang yang kita cinta itu adalah isteri kita, maka sangat tinggi harapan kita untuk bersatu semula bersama isteri kita di sana nanti kerana dialah pelengkap kebahagiaan dan ketenangan kita ketika di dunia. Namun, semua ini hanya akan dapat dicapai bila kita melakukan taqmil wa istiqmal. Apa itu?
LAMBAT DAN CEPAT, LEMAH DAN KUAT, PERLU SALING MELENGKAPI
Taqmil wa istiqmal itu adalah saling melengkapi. Kita ada kelebihan dan ada kelemahan. Orang lain juga sama, ada kelebihan dan kekurangan. Tidak ada yang perfect, betul semua 100%. Dengan kelemahan yang kita ada itu, ia perlu ditampung dengan kelebihan yang ada pada orang lain. Begitulah juga, kelebihan yang ada pada kita perlu digunakan untuk membantu orang lain. Maka, barulah akan terbentuk satu masyarakat yang kuat.
Kita semua ada kesilapan, ada kesalahan, ada kekurangan. Bila proses taqmil wa istiqmal ini saling dilaksanakan, maka pastinya tidak ada kesilapan yang tidak dibetulkan, pastinya tidak ada kesalahan yang tidak ditegur, dan pastinya tidak ada kekurangan yang tidak diperbaikkan.
Jumpa sahaja dengan saudara kita di jalan-jalan, kita tidak segan-segan untuk bertegur sapa dan bertanya khabar serta melebarkan senyuman. Bila melihat saudara kita melakukan kesilapan, kita tidak hanya memandang dan membiarkan sahaja, tetapi kerana rasa cinta kepada saudara kita, kita menegurnya meskipun kita mungkin dimarahi semula.
Bila melihat saudara kita jauh daripada jalan iman, kita bersegera untuk lebih dekat dengannya, supaya kita mampu membetulkannya semula. Bukan bila dia jauh daripada jalan iman, kita pun menjauhinya.
Ingatkah bagaimana kisah Abu Zar dengan Bilal bin Rabah? Bila Abu Zar telah mengeluarkan kata-kata tidak elok kepada Bilal hanya dengan mengatakan, “Wahai budak hitam…” Maka, ditegur oleh Rasul s.a.w. bahawa dalam diri Abu Zar masih ada jahiliah. Lalu, apa yang dilakukan oleh Abu Zar. Adakah dia marah dengan teguran itu? Tidak. Bahkan, dia pergi berjumpa dengan Bilal, sambil meletakkan mukanya di atas tanah, dia meminta Bilal memijak mukanya sebagai membalas perbuatannya yang mengeluarkan kata-kata itu.
Kita hari ini, bagaimana? Kalau hendak dinisbahkan cara hukuman Abu Zar terhadap dirinya dengan kita, pastinya muka kita ini lebih layak dipijak banyak kali berbanding Abu Zar, tidakkah begitu?
BAGAIMANA MEREKA BERGERAK, SEPATUTNYA BEGITULAH KITA
Mereka adalah generasi contoh. Generasi awal Islam yang sentiasa memberi motivasi untuk kita terus berjuang. Lihatlah mereka dan ambillah pengajaran. Bagaimana hebatnya ukhuwah antara Abd Rahman bin Auf dan Saad bin Rabi dalam peristiwa Hijrah, itulah yang ingin kita contohi.
Mereka itu tidak pernah pun berjumpa, bahkan tidak pernah berutus surat apalagi bertanya khabar melalui facebook seperti yang kita miliki sekarang. Mereka memang tidak pernah berjumpa kecuali pada waktu hijrah itu sahaja. Tetapi, lihatlah. Bila mereka dihubung atas iman, ukhuwah yang mendominasi diri mereka menyebabkan proses taqmil wa istiqmal itu berjalan dengan hebat sekali.
Abd Rahman datang dalam keadaan tidak memiliki apa-apa. Saad bin Rabi’ selain menawarkan separuh hartanya, dia juga menawarkan isterinya. Antara dua orang, pilih sahaja isteri mana satu yang dikehendaki oleh Abd Rahman bin Auf. Kalau kita di tempat Abd Rahman, apa yang kita lakukan agaknya bila menerima tawaran sebegitu? Abd Rahman bin Auf bahkan tidak mengambil kesempatan langsung di atas kemurahan hati saudaranya itu. Beliau cuma meminjam beberapa dinar daripada Saad bin Rabi’ sebagai modal memulakan perniagaannya.
Mereka itu, mampu saling melengkapi dalam keadaan tidak mengenali, bahkan menjadi lebih hebat setelah mereka saling mengenali. Kita bagaimana?
PENUTUP : TEMASYA KE SYURGA PERLU DIGERAKKAN BERSAMA
Saidina Abu Bakar as-siddiq ketika mula-mula dilantik menjadi khalifah, beliau telah berpesan:
“Wahai umat manusia, sesungguhnya aku telah dilantik di kalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka, jika aku melakukan kebaikan, bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong, maka betulkanlah aku.”
Perhatikanlah kerendahan hati seorang sahabat Nabi. Walaupun beliau seorang sahabat yang sangat akrab dengan Nabi s.a.w., tetapi beliau tetap meminta agar orang lain dapat membantu melengkapkan dirinya. Bila kita saling melengkapi, maka pastinya lebih mudah perjalanan menuju Ilahi ini. Bila kita saling melengkapi, pastinya kebahagiaan hidup di atas iman lebih mudah dirasai.
Kita tidak hanya ingin sekadar diri kita sahaja menapak di syurga, bahkan kita akan rasa sangat terkilan bila melihat mereka yang pernah bersama kita di dunia, tidak bersama kita di syurga.
Lihatlah Rasul s.a.w., beliau tidak hanya merisaukan dirinya, tetapi sibuk memikirkan tentang ummatnya. Bahkan, di akhirat nanti, bila dibangunkan semula di akhirat nanti, perkara pertama yang menjadi kerisauannya adalah ummatnya.
Kita, adakah saudara kita yang bersama kita sekarang ini, menjadi kerisauan kita, atau kita hanya sekadar merisaukan diri kita? Suasana dalam syurga itu nanti sebagaimana yang digambarkan oleh Allah s.w.t dalam surah Al-Waqiah ayat 25-26 bermaksud :
“Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa. Mereka hanya mendengar ucapan: ” selamat! selamat! ” (dari satu kepada yang lain).”
Dalam syurga, kita hanya mendengar ucapan salam dan ucapan yang baik sahaja antara ahli syurga. Itulah kehebatan temasya di syurga nanti. Hubungan yang baik antara ahli syurga. Tetapi, jika kita tidak mula mempraktikkannya bermula daripada di dunia, apakah mungkin ada ruang dan peluang untuk kita merasainya ketika di akhirat nanti?
Hendak merasai keindahan temasya di syurga, maka kita perlu merancang temasya itu bermula di dunia lagi. Temasya syurga hanya mampu dinikmati keindahannya bila proses taqmil wa istiqmal dilaksana ketika di dunia !
Artikel : langitilahi.com
0 comments:
Post a Comment