Pages

Powered by Blogger.

SlideShow

.
0

Adakah Taubat Kita Diterima Allah


Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"…perguna lima perkara sebelum datang lima perkara; masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa beradamu (kaya) sebelum jatuh miskin dan masa hidupmu sebelum mati…"



"Takutlah kamu akan hari (kemudian) kamu semua akan dikembalikan padaNya; kemudian disempurnakanNya balasan amal bagi setiap diri sedangkan mereka tidak dizalimi"-Surah Al-Baqarah:ayat 281


Renungan - Adakah Taubat Kita Diterima Allah

Kenangkan dosa hari ini, dosa semalam dan hari-hari yang telah berlalu kita lakukan. Alangkah banyaknya…sehingga tidak terhitung. Namun demikian Allah al-Rahman tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran dan percakapan yang telah melakukan dosa. Malah Allah al-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui oleh orang lain.
Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian. Amat banyak pendurhakaan kepada Allah yang telah kita lakukan sejak baligh hingga ke saat ini. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah al-Nisa’:ayat 28)
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Ibn Majah )
Sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak mempunyai dosa sebenarnya dia telah melakukan dosa dengan ucapan sedemikian. Firman Allah SWT yang bermaksud :
Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dan dialah yang Maha Mengetahui siapa yang bertakwa”. ( Surah al-Najm : 32 )
Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah SWT yang bersifat dengan sifat al-Tawwab ( Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur ( Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam al-Quran bayak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.
Maksud firman Allah SWT :
“Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan.” (Surah al-Nur: 31)

Maksud Firman Allah SWT :

Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. ( Surah Ali Imran :133)

Allah SWT juga berfirman:

"Dan dirikanlah shalat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya amalan-amalan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat." ( Surah Hud: 114).

Hadis-hadis Nabi saw juga banyak yang menyebut tentang kelebihan dan tuntutan taubat, antaranya ialah ;
Dari Nabi saw bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) :

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Imam Muslim).

Sabda Nabi saw :

Sesungguhnya Allah SWT sangat gembira dengan taubat hambaNya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kamu yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali”. ( Imam Muslim)

Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah mengatakan:

Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada siang hari, dan Allah membentangkan tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada malam hari, sampai matahari terbit dari barat.” (Imam Muslim )

Rasulullah saw yang terpelihara daripada dosa dan diutuskan agar menjadi contoh kepada sekalian manusia juga memohon keampunan kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Begitulah petunjuk sunnah Rasulullah saw kepada kita semua agar sentiasa bertaubat setiap masa. Jangan dibiarkan dosa berlanjutan dan dijadikan koleksi dari semasa ke semasa kerana maut datang tanpa isyarat dan amaran. Dosa yang dibiarkan pasti akan memberi kesan buruk kepada kita di akhirat kelak.

0 comments:

Post a Comment